drama dalam hidup kita

Suami cekup isteri curang
Oleh Ramlah Zainal
RUMAH teres dua tingkat di kawasan perumahan Sering Ukay, Ukay Perdana, Ampang bertukar menjadi tempat bersekedudukan Karina dan kekasihnya, Jay sepanjang ketiadaan suaminya, Azrai yang sering menguruskan bisnesnya di luar negara.

Bagi mengaburi mata orang ramai, hiasan dinding rumah itu dihiasi beberapa bingkai gambar romantik, Jay dan Karina, seolah-olah mereka seperti sepasang suami isteri lain yang tinggal di kawasan perumahan itu.

Pada petang itu, Karina dan Jay juga nampaknya asyik bermesra dan bergembira dalam rumah yang menjadi saksi percintaan terlarang mereka itu. Itulah antara paparan menarik dalam telefilem Berkalung Noda arahan M Hitler Zami terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) untuk TV3.

Ketika wakil Rap sampai di lokasi penggambaran telefilem ini jam 3 petang baru-baru ini, Hitler sibuk menyiapkan babak Karina dan Jay kena tangkap basah oleh pegawai pencegah maksiat yang menyerbu rumah itu.

Suami Karina, Azrai melaporkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Karina nampak panik, tidak mengaku perbuatan sumbangnya itu.

"Siapa cakap kami bersekedudukan? Kami adalah suami isteri yang sah!," Itulah antara dialog menarik Karina dalam telefilem ini. Namun, kemunculan Azrai yang menjadi saksi perbuatan sumbangnya itu berjaya membuktikan segalanya.

Karina hanya menitiskan air mata melihat Azrai membuat pengakuan kecurangannya itu kepada pegawai Jais serta bertindak menceraikan isterinya pada waktu itu juga.

Mengulas lanjut mengenai penggambaran telefilem Berkalung Noda itu, kata Hitler, sebelum di Sering Ukay, penggambaran juga berlangsung di Kundang, Kuang.

"Dalam sehari, kami boleh siapkan tujuh babak dan ini hari keenam penggambaran. Babak yang kami buat di lokasi di sini membabitkan Karina dan Jay kena tangkap basah.

"Azrai juga memberitahu Karina, dia terpaksa ke luar negara sedangkan sebenarnya ingin mengekori Jay dan Karina dari belakang.

"Pihak kami berjaya menyiapkan babak yang lain sehingga ia selesai pada jam 10 malam," katanya.

Nama M Hitler Zami bukan asing lagi kerana mengarah puluhan drama termasuk filem. Antara drama popular arahannya, siri Ayoub yang dibintangi Iqram Dinzly.

Malah, anak kepada pelakon veteran Zami Ismail dari Ipoh, Perak itu memang antara pengarah yang menjadi rebutan produser drama dan filem ketika ini.

Kata Hitler, dia menerima tawaran membuat telefilem itu kerana tertarik dengan naskhah berat dan membabitkan kisah yang sering berlaku dalam masyarakat kita.

"Sebenarnya saya sudah serasi bekerja dengan GBSB tetapi sebab utama saya terima tawaran buat cerita ini kerana ia memang tanggungjawab sosial saya menghasilkan karya yang bagus dan memberi pengajaran kepada masyarakat.

"Jalan cerita Berkalung Noda menarik untuk diketengahkan dalam drama. Cerita ini memang sarat dengan mesej untuk disampaikan kepada masyarakat dan sebagai pengajaran buat mereka.

"Jika pasangan suami isteri mempunyai kelapangan, mereka sepatutnya tidak melakukan perbuatan dengan mengikut hawa nafsu semata-mata. Suami juga tidak sepatutnya memberi kepercayaan 100 peratus kepada isteri mereka," katanya.

Dari segi pemilihan pelakon pula, kata Hitler, ia diputuskan produser GBSB, Jalena Rejab. Katanya, dia tidak berdepan dengan cabaran besar sepanjang penggambaran telefilem ini kerana semua pelakon memberi komitmen di lokasi penggambaran.

"Pada pemerhatian saya, Fasha pelakon yang terlampau disiplin dan memudahkan kami bekerja. Saya juga ada pengalaman bekerja dengan Fasha sebelum ini dalam drama seperti Perigi Kontang dan saya sudah tahu cara dia berlakon.

"Fasha juga berani menegur sesuatu babak yang kami jayakan serta memberi pendapat matang ketika penggambaran telefilem ini.

"Selain Fasha, saya pernah bekerja dengan Riz yang membawa watak kekasih Karina dalam cerita ini iaitu dalam filem Janin yang sudah ditayangkan di pawagam. Riz juga memberikan prestasi lakonan seperti dikehendaki dalam wataknya," katanya.

Berkalung Noda menceritakan 3 tahun dulu, Karina hidup dalam kemewahan tapi berasa sunyi kerana suaminya, Azrai, jurutera eksplorasi petroleum dan gas, sering bertugas di luar Negara. Mereka dikurniakan dua anak, Yasmin dan Azmi, masing-masing berusia 7dan 8 tahun yang dijaga pembantu rumah.

Sekalipun hidupnya dilimpahi kemewahan, Karina tetap berasa hidupnya kosong. Ketika itulah, dia sering bersosial dan akhirnya bertemu dengan Jay, lelaki playboy dan sudah beristeri untuk mengisi kekosongan hidupnya. Jay pula sebenarnya suka mengikis duit perempuan untuk menambat hati isterinya, Tina.

Telefilem untuk slot Cerekarama dan disiarkan Sabtu ini, jam 10 malam dibintangi barisan pelakon hebat seperti Fasha Sandha (Karina), Roy Azman ( Azrai), Riz Ainudin (Jay), Elyana (Tina) dan ramai lagi.




SUNGGUH! Mula-mula CikAbang teruja hendak baca berita ini yang tersiar dalam Harian Metro hari ini. Ingatkan berita sahih sebab HM ini memang selalu paparkan cerita sensasi. Lepas baca, oh! Rupa-rupanya drama. Rasa tertipulah sekejap.

Tapi secebis cerita dalam drama ini sebenarnya bukannya tidak biasa berlaku dalam masyarakat kita. Suatu ketika dahulu kalau suami curang, ia dianggap benda biasa. Sebab namanya lelaki kan....

Tapi sekarang keadaan sudah terbalik. Isteri-isteri (tidak semualah, nanti marah pula kaum isteri) sudah berani angkat bungkus lari dari rumah, sudah tak silu-silu lagi perambat suami dari rumah, macam-macam lagilah!

Lelaki dan perempuan sama saja sebenarnya. Cuma mungkin perempuan masih tebal malunya berbanding lelaki. Tapi kalau perempuan pun sudah hilang malu, maka jadilah perkara yang di luar kewajaran!

CikAbang: .... (blur) & akan kembali berblog!