Bukan Sindir Biasa Jun 2010


Cuti sekolah sudah mari. Beberapa orang kawan CikAbang melangsungkan perkahwinan sempena cuti sekolah ini. Jadi CikAbang hendak ucapkan Selamat Pengantin Baru kepada mereka. Selamat mulakan hidup baru berdua...



Persoalan jodoh adalah isu yang di luar kadar manusia. Kadangkala ia aneh, kadangkala ia lucu, kadangkala ia semacam tidak masuk akal. Sungguh, ia kuasa Tuhan, lalu kita akan katakan, ini kerja Tuhan dan siapalah kita manusia untuk menidakkannya.
Kenapa Cik Abang berbicara hal cinta kali ini? Entahlah, agaknya sebab sekarang ini ‘musim mengawan’. Dua orang kawan Cik Abang bertemu jodoh baru-baru ini. Kalau setakat biasa-biasa saja, mungkin Cik Abang tak rasa pentingnya menulis. Tetapi ketentuan yang ditakdirkan pada mereka itu yang buat Cik Abang berfikir panjang.


Catatan seterusnya boleh dibaca dalam Bukan Sindir Biasa, NUR Edisi Jun 2010.

Catatan 'Hangin'...


Ya Tuhan, lamanya blog ni bersawang!

Hari ini tiba-tiba teringat hendak mencatat sesuatu. Satu dunia tengah 'hangin' dengan Yahudi-Israel yang memang tak reti hormatkan orang lain. Tidak kiralah orang tua, perempuan, kanak-kanak, wartawan atau sukarelawan - semua depa hendak belasah. Konon mengganggu ketenteraman mereka. Takut dengan bayang-bayang sendiri!

Tetapi kita marah berbakul-bakul pun, mereka bukannya tahu malu atau terasa hati pun. Kita memekik melalak melolong sampai tercabut anak tekak, Si Yahudi tetap kata, "Ada aku kisah?" Mereka lagi suka ada!

Mereka memang hendak tunjuk bahawa mereka ini orang yang ada kuasa, berani guna kuasa, berani lawan undang-undang, berani segala-galanya. Kalau Nabi mereka pun, mereka berani derhaka, berani bunuh, apa sangatlah orang lain yang tidak sangkut kena-mengena dengan mereka?

Tetapi bagi orang Islam sendiri, apa yang kita lakukan? Takat angkat sepanduk, mengutuk dalam Parlimen sajalah kita. Memanglah, itu serendah-rendah benci yang mampu kita buat. Terasa amatlah lemah kita ini selaku orang Islam, kerana tidak berdaya mempertahankan diri walaupun maruah kita dipijak-pijak dan diperkotak-katikkan orang sesuka hati.

Sedih,sadis sungguh!

kisah nenek!

Berani sungguh nenek ni. Tapi jangan terlebih berani, nek, nanti nyawa melayang, tak guna juga! Tak apa harta hilang, jangan nyawa hilang. Harta boleh ganti, nyawa tak boleh...

Baca rencana penuh di bawah:

Nenek lawan 3 penyamun
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/02/24
KUALA LUMPUR: Niatnya ingin menghalang tiga perompak yang cuba melarikan tiga kereta mewahnya bernilai RM1.2 juta, namun seorang wanita warga emas sebaliknya terpaksa lari lintang-pukang apabila dia dikejar penjenayah terbabit yang bersenjatakan parang.

[SASARAN...polis menjalankan siasatan terhadap banglo yang menjadi sasaran tiga perompak, pagi semalam. Dalam kejadian jam 4 pagi semalam, mangsa yang berusia 70-an terlihat kelibat tiga lelaki yang menceroboh rumahnya di Lorong Hujan, Taman OUG di sini sebelum suspek cuba melarikan tiga kereta mewah miliknya.]

Sumber polis berkata, mangsa terus meluru keluar sebelum cuba menghalang tiga penjenayah terbabit melarikan keretanya.

Menurutnya, suspek yang menyedari kemunculan pemilik rumah terbabit terus mengeluarkan parang sebelum mengejar mangsa.

“Tindakan penjenayah menghunuskan parang itu menyebabkan pemilik rumah terbabit tergamam dan kecut perut sebelum berpatah semula masuk ke dalam rumah. Mangsa yang menutup pintu bagi mengelak penjenayah mencederakannya,” katanya.

Menurutnya, penjenayah sengaja merosakkan alat kawalan pada pintu pagar utama rumah mangsa bagi membolehkan tiga kereta mewah itu dipandu keluar.

Difahamkan, sebelum kejadian, kumpulan penjenayah warga tempatan terbabit terlebih dulu merayau-rayau di kawasan berkenaan sejak jam 3 pagi dipercayai untuk mengesan lokasi kediaman yang bakal dijadikan sasaran.

“Selepas yakin dengan sasaran, suspek memecah masuk untuk melarikan kereta mewah mangsa. Bagaimanapun, mereka terkejut apabila alat penggera yang dipasang di rumah mangsa tiba-tiba berbunyi,” katanya.

Menurutnya, mangsa segera turun ke tingkat bawah banglonya untuk mematikan sistem penggera berkenaan sebelum mendengar enjin kereta dihidupkan.

“Mangsa yang mulanya menyangka anak lelakinya sedang memandu untuk keluar rumah bagaimanapun terkejut apabila mendapati tiga lelaki tidak dikenali dengan menutup muka dalam kenderaan itu.

“Semua suspek memakai topeng mencegah wabak H1NI bagi memastikan identiti mereka tidak dapat dicam mangsa. Pemilik rumah yang cuba mencegah mangsa bagaimanapun dikejar sebelum masuk semula ke dalam rumah bagi mencari perlindungan,” katanya.

Menurutnya, mangsa segera memaklumkan kejadian itu kepada anaknya, namun penjenayah sudah melarikan diri.

“Bagaimanapun, kejadian terbabit dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di hadapan rumah terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, polis sedang mengesan penjenayah dan tiga kereta mewah model Mercedes Benz, BMW dan Honda Accord milik mangsa.

“Siasatan terperinci akan dilakukan terhadap rakaman CCTV diperoleh bagi mengenal pasti identiti sebenar suspek terbabit,” katanya.

end

azam kami!


Tahun baru. Malas sudah hendak cakap pasal azam. Bukannya ada apa-apa yang hebat pun. Ramai orang pasang azam itu ini. Tapi sudah-sudahnya begitu juga. Hendak langsing, hendak kurus, hendak berhenti merokok,hendak berhenti marah-marah suami, hendak berhenti itu ini. Biasanya beberapa hari saja, atau paling kurang tiga bulan. Selepas itu, kembali pada asal. Tokoh motivasi hebat mana pun tidak boleh ubah.

Hanya Allah yang boleh ubah. Sebab kita ini ciptaan-Nya. Maka berdoalah agar kita istiqamah dengan azam yang kita azamkan.

Marilah kita terus panjatkan doa, "Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau palingkan hati kami selepas Engkau berikan iman ke dalam hati kami..."