method kena ada!

Orang Melayu ini kaya adat, kaya cara dalam berbuat apa sahaja. Baik dalam menegur, memarahi, atau apa sahaja. Kata orang, ada method. Tak percaya? cuba baca pantun-pantun lama tinggalan nenek moyang.

Rakit buluh dari seberang,
Dulang terletak atas geta;
Sakit sungguh kasih seorang,
Orang tidak kasihkan kita.

Itu dia, cara orang lama menyatakan rasa merana jiwa luluh lantak. Mungkin sindiran juga kerana kasih ditolak. Tidaklah seperti orang sekarang, pantang bergaduh sikit, salah seorang naik atas bangunan tinggi, ugut hendak bunuh diri. Hisy! Pantang tok nenek abang, perangai macam orang tak ada iman begini!

Buah berembang buah bidara,
Masak seuntai dua untai;
Anak bersubang disangka dara,
Macam mumbang ditepuk tupai.

Hahaha! Suka betul pantun ini. Bukan hendak sindir siapa-siapa ya. Tetapi kalau ada yang terasa, itu bukanlah sindir biasa....

encikabang: sindir sayang!

hidup dalam sekotak coklat!


Mengapa Forest Gump? Tak tahulah, kadangkala kata-kata Si Tom Hanks yang berlakon jadi lelaki lurus Gump itu betul juga. Kata dia kalau tak silap, "Hidup ini bagaikan sekotak coklat...."

Kenapa coklat? Mungkin sebab coklat itu sedap, enak, disukai kebanyakan orang. (Coklat ada anti oksida tahu, boleh jadi ubat awet muda!) Jadi orang gunakan itu perumpamaan kehidupan.

Teringat pula suatu ketika dahulu, zaman kecil-kecil, ketika adik perempuan saya beli sekotak coklat, meleleh air liur mengenangkan keenakan coklat yang apabila masuk ke mulut, akan mencair dalam mulut. Sayangnya, apabila buka kotak coklak, jamah sebiji, tiba-tiba seekor ulat muncul menggodek-godekkan kepala.

Meraung terkejut adik saya, tercampak kotak coklat jatuh, bertabur isinya atas lantai. Sampai sekarang, dia fobia dengan coklat!

Itulah dia, kita tidak tahu apa yang ada dalam sekotak coklat!

encikabang: teringat coklat enak di lapangan terbang!

Bismillahirrahmanirrahim


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

encikabang: mulakan dengan kalimah mulia