secawam kopi


“Apa yang sedapnya secawan kopi di kedai tu?” Dahulu saya biasa dengar emak saya berleterkan abah yang suka menghabiskan masa beberapa jam di kedai kopi.

“Kopi yang emak buat rasanya lebih sedap. Tapi abah kau tu tiap pagi masih pekena kopi kat kedai juga. Orang kedai tu taruk ganja ke apa, sampai ketagih?” Huh! Emak sudah sampai ke tahap prasangka nampaknya!

Ini cerita dahulu, ketika saya masih muda remaja dan tinggal bersama keluarga di kampung. (Sekarang pun muda juga, tambah muda, tapi sudah tinggal jauh di kota!) Antara hobi abah saya selepas bersara adalah duduk di kedai kopi, sekurang-kurangnya sekali sehari. Kalau tak pagi, petang, begitulah sebaliknya. Kadangkala pagi petang ada di kedai kopi.

Maka emak kadangkala angin satu badan sebab hobi abah itu. Apabila marah-marah, terkeluarlah dialog seperti di atas.

Terfikir juga saya ketika itu, betullah juga cakap emak. Saya tergoda juga untuk ikut abah pekena kopi di satu-satunya kedai kopi di kampung kami, tetapi saya tak rasa tang mana sedapnya kopi di situ. Kopi emak lagi sedap! Saya tengok abah pun bukanlah beria-ia sangat minum.

Tetapi duduk di kedai kopi itu seperti ada kelas tersendiri, apatah lagi apabila datang empat lima orang lagi kawan yang sama ‘mengopi’ di situ. Saya tengok macam-macam mereka borak, ketawa berdekah, bertepuk meja segala. Huh, ternganga juga saya! Di rumah, saya jarang-jarang tengok abah ketawa riang ria sakan begitu.

Hmm, akhirnya saya merumuskan satu perkara mudah. Bukanlah sebab secawan kopi itu sebenarnya. Tetapi hakikatnya, lelaki juga mahu masanya sendiri, mahu masa berjumpa kawan-kawannya, bergelak sakan dan beriang ria seperti zaman bujang. Sebab itu saja kesempatan yang dia ada. Apabila masuk rumah, dia terpaksa tukar topi!