catatan mungkir janji

Oh, saya kembali 'mungkir janji'. Ya, saya sudah berjanji tidak mahu kecewakan dia. Tetapi saya terpaksa kecewakan dia. Bukan salah saya. Saya tidak terdaya kerana saya seorang lelaki.

Bolehkah saya beri alasan ini? Mahukah dia terima? Hati seorang perempuan, kata emak saya, harus dijaga. Kalau kita tidak suka dia, jangan cakap kita tidak suka. Beralaslah sedikit, berlapiklah sedikit sebagai tanda kita menghormati perasaannya. Tetapi saya tidak boleh. Kalau saya tidak suka, cakap sahajalah tidak suka. Buat apa berpura-pura? Itu tidak ikhlas namanya!

Kalau emak saya dengar, dia pasti kata, "Nak, engkau ni memang tak ada perasaan. Akal letak di lutut! Sia-sia emak didik engkau selama ini!"

Oh, ini satu lagi penyakit. Jadinya, makanya, saya harus mengalah lagi.

Adakah saya akan digelar lelaki yang tewas semata-mata kerana mahu menjaga hati seorang wanita?

Arg, keliru saya!

CikAbang: ini sekadar catatan merepek waktu senja, tidak ditujukan kepada sesiapa & bukan menggambarkan hati sebenar.

drama dalam hidup kita

Suami cekup isteri curang
Oleh Ramlah Zainal
RUMAH teres dua tingkat di kawasan perumahan Sering Ukay, Ukay Perdana, Ampang bertukar menjadi tempat bersekedudukan Karina dan kekasihnya, Jay sepanjang ketiadaan suaminya, Azrai yang sering menguruskan bisnesnya di luar negara.

Bagi mengaburi mata orang ramai, hiasan dinding rumah itu dihiasi beberapa bingkai gambar romantik, Jay dan Karina, seolah-olah mereka seperti sepasang suami isteri lain yang tinggal di kawasan perumahan itu.

Pada petang itu, Karina dan Jay juga nampaknya asyik bermesra dan bergembira dalam rumah yang menjadi saksi percintaan terlarang mereka itu. Itulah antara paparan menarik dalam telefilem Berkalung Noda arahan M Hitler Zami terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) untuk TV3.

Ketika wakil Rap sampai di lokasi penggambaran telefilem ini jam 3 petang baru-baru ini, Hitler sibuk menyiapkan babak Karina dan Jay kena tangkap basah oleh pegawai pencegah maksiat yang menyerbu rumah itu.

Suami Karina, Azrai melaporkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Karina nampak panik, tidak mengaku perbuatan sumbangnya itu.

"Siapa cakap kami bersekedudukan? Kami adalah suami isteri yang sah!," Itulah antara dialog menarik Karina dalam telefilem ini. Namun, kemunculan Azrai yang menjadi saksi perbuatan sumbangnya itu berjaya membuktikan segalanya.

Karina hanya menitiskan air mata melihat Azrai membuat pengakuan kecurangannya itu kepada pegawai Jais serta bertindak menceraikan isterinya pada waktu itu juga.

Mengulas lanjut mengenai penggambaran telefilem Berkalung Noda itu, kata Hitler, sebelum di Sering Ukay, penggambaran juga berlangsung di Kundang, Kuang.

"Dalam sehari, kami boleh siapkan tujuh babak dan ini hari keenam penggambaran. Babak yang kami buat di lokasi di sini membabitkan Karina dan Jay kena tangkap basah.

"Azrai juga memberitahu Karina, dia terpaksa ke luar negara sedangkan sebenarnya ingin mengekori Jay dan Karina dari belakang.

"Pihak kami berjaya menyiapkan babak yang lain sehingga ia selesai pada jam 10 malam," katanya.

Nama M Hitler Zami bukan asing lagi kerana mengarah puluhan drama termasuk filem. Antara drama popular arahannya, siri Ayoub yang dibintangi Iqram Dinzly.

Malah, anak kepada pelakon veteran Zami Ismail dari Ipoh, Perak itu memang antara pengarah yang menjadi rebutan produser drama dan filem ketika ini.

Kata Hitler, dia menerima tawaran membuat telefilem itu kerana tertarik dengan naskhah berat dan membabitkan kisah yang sering berlaku dalam masyarakat kita.

"Sebenarnya saya sudah serasi bekerja dengan GBSB tetapi sebab utama saya terima tawaran buat cerita ini kerana ia memang tanggungjawab sosial saya menghasilkan karya yang bagus dan memberi pengajaran kepada masyarakat.

"Jalan cerita Berkalung Noda menarik untuk diketengahkan dalam drama. Cerita ini memang sarat dengan mesej untuk disampaikan kepada masyarakat dan sebagai pengajaran buat mereka.

"Jika pasangan suami isteri mempunyai kelapangan, mereka sepatutnya tidak melakukan perbuatan dengan mengikut hawa nafsu semata-mata. Suami juga tidak sepatutnya memberi kepercayaan 100 peratus kepada isteri mereka," katanya.

Dari segi pemilihan pelakon pula, kata Hitler, ia diputuskan produser GBSB, Jalena Rejab. Katanya, dia tidak berdepan dengan cabaran besar sepanjang penggambaran telefilem ini kerana semua pelakon memberi komitmen di lokasi penggambaran.

"Pada pemerhatian saya, Fasha pelakon yang terlampau disiplin dan memudahkan kami bekerja. Saya juga ada pengalaman bekerja dengan Fasha sebelum ini dalam drama seperti Perigi Kontang dan saya sudah tahu cara dia berlakon.

"Fasha juga berani menegur sesuatu babak yang kami jayakan serta memberi pendapat matang ketika penggambaran telefilem ini.

"Selain Fasha, saya pernah bekerja dengan Riz yang membawa watak kekasih Karina dalam cerita ini iaitu dalam filem Janin yang sudah ditayangkan di pawagam. Riz juga memberikan prestasi lakonan seperti dikehendaki dalam wataknya," katanya.

Berkalung Noda menceritakan 3 tahun dulu, Karina hidup dalam kemewahan tapi berasa sunyi kerana suaminya, Azrai, jurutera eksplorasi petroleum dan gas, sering bertugas di luar Negara. Mereka dikurniakan dua anak, Yasmin dan Azmi, masing-masing berusia 7dan 8 tahun yang dijaga pembantu rumah.

Sekalipun hidupnya dilimpahi kemewahan, Karina tetap berasa hidupnya kosong. Ketika itulah, dia sering bersosial dan akhirnya bertemu dengan Jay, lelaki playboy dan sudah beristeri untuk mengisi kekosongan hidupnya. Jay pula sebenarnya suka mengikis duit perempuan untuk menambat hati isterinya, Tina.

Telefilem untuk slot Cerekarama dan disiarkan Sabtu ini, jam 10 malam dibintangi barisan pelakon hebat seperti Fasha Sandha (Karina), Roy Azman ( Azrai), Riz Ainudin (Jay), Elyana (Tina) dan ramai lagi.




SUNGGUH! Mula-mula CikAbang teruja hendak baca berita ini yang tersiar dalam Harian Metro hari ini. Ingatkan berita sahih sebab HM ini memang selalu paparkan cerita sensasi. Lepas baca, oh! Rupa-rupanya drama. Rasa tertipulah sekejap.

Tapi secebis cerita dalam drama ini sebenarnya bukannya tidak biasa berlaku dalam masyarakat kita. Suatu ketika dahulu kalau suami curang, ia dianggap benda biasa. Sebab namanya lelaki kan....

Tapi sekarang keadaan sudah terbalik. Isteri-isteri (tidak semualah, nanti marah pula kaum isteri) sudah berani angkat bungkus lari dari rumah, sudah tak silu-silu lagi perambat suami dari rumah, macam-macam lagilah!

Lelaki dan perempuan sama saja sebenarnya. Cuma mungkin perempuan masih tebal malunya berbanding lelaki. Tapi kalau perempuan pun sudah hilang malu, maka jadilah perkara yang di luar kewajaran!

CikAbang: .... (blur) & akan kembali berblog!

Bukan Sindir Biasa Jun 2010


Cuti sekolah sudah mari. Beberapa orang kawan CikAbang melangsungkan perkahwinan sempena cuti sekolah ini. Jadi CikAbang hendak ucapkan Selamat Pengantin Baru kepada mereka. Selamat mulakan hidup baru berdua...



Persoalan jodoh adalah isu yang di luar kadar manusia. Kadangkala ia aneh, kadangkala ia lucu, kadangkala ia semacam tidak masuk akal. Sungguh, ia kuasa Tuhan, lalu kita akan katakan, ini kerja Tuhan dan siapalah kita manusia untuk menidakkannya.
Kenapa Cik Abang berbicara hal cinta kali ini? Entahlah, agaknya sebab sekarang ini ‘musim mengawan’. Dua orang kawan Cik Abang bertemu jodoh baru-baru ini. Kalau setakat biasa-biasa saja, mungkin Cik Abang tak rasa pentingnya menulis. Tetapi ketentuan yang ditakdirkan pada mereka itu yang buat Cik Abang berfikir panjang.


Catatan seterusnya boleh dibaca dalam Bukan Sindir Biasa, NUR Edisi Jun 2010.

Catatan 'Hangin'...


Ya Tuhan, lamanya blog ni bersawang!

Hari ini tiba-tiba teringat hendak mencatat sesuatu. Satu dunia tengah 'hangin' dengan Yahudi-Israel yang memang tak reti hormatkan orang lain. Tidak kiralah orang tua, perempuan, kanak-kanak, wartawan atau sukarelawan - semua depa hendak belasah. Konon mengganggu ketenteraman mereka. Takut dengan bayang-bayang sendiri!

Tetapi kita marah berbakul-bakul pun, mereka bukannya tahu malu atau terasa hati pun. Kita memekik melalak melolong sampai tercabut anak tekak, Si Yahudi tetap kata, "Ada aku kisah?" Mereka lagi suka ada!

Mereka memang hendak tunjuk bahawa mereka ini orang yang ada kuasa, berani guna kuasa, berani lawan undang-undang, berani segala-galanya. Kalau Nabi mereka pun, mereka berani derhaka, berani bunuh, apa sangatlah orang lain yang tidak sangkut kena-mengena dengan mereka?

Tetapi bagi orang Islam sendiri, apa yang kita lakukan? Takat angkat sepanduk, mengutuk dalam Parlimen sajalah kita. Memanglah, itu serendah-rendah benci yang mampu kita buat. Terasa amatlah lemah kita ini selaku orang Islam, kerana tidak berdaya mempertahankan diri walaupun maruah kita dipijak-pijak dan diperkotak-katikkan orang sesuka hati.

Sedih,sadis sungguh!

kisah nenek!

Berani sungguh nenek ni. Tapi jangan terlebih berani, nek, nanti nyawa melayang, tak guna juga! Tak apa harta hilang, jangan nyawa hilang. Harta boleh ganti, nyawa tak boleh...

Baca rencana penuh di bawah:

Nenek lawan 3 penyamun
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/02/24
KUALA LUMPUR: Niatnya ingin menghalang tiga perompak yang cuba melarikan tiga kereta mewahnya bernilai RM1.2 juta, namun seorang wanita warga emas sebaliknya terpaksa lari lintang-pukang apabila dia dikejar penjenayah terbabit yang bersenjatakan parang.

[SASARAN...polis menjalankan siasatan terhadap banglo yang menjadi sasaran tiga perompak, pagi semalam. Dalam kejadian jam 4 pagi semalam, mangsa yang berusia 70-an terlihat kelibat tiga lelaki yang menceroboh rumahnya di Lorong Hujan, Taman OUG di sini sebelum suspek cuba melarikan tiga kereta mewah miliknya.]

Sumber polis berkata, mangsa terus meluru keluar sebelum cuba menghalang tiga penjenayah terbabit melarikan keretanya.

Menurutnya, suspek yang menyedari kemunculan pemilik rumah terbabit terus mengeluarkan parang sebelum mengejar mangsa.

“Tindakan penjenayah menghunuskan parang itu menyebabkan pemilik rumah terbabit tergamam dan kecut perut sebelum berpatah semula masuk ke dalam rumah. Mangsa yang menutup pintu bagi mengelak penjenayah mencederakannya,” katanya.

Menurutnya, penjenayah sengaja merosakkan alat kawalan pada pintu pagar utama rumah mangsa bagi membolehkan tiga kereta mewah itu dipandu keluar.

Difahamkan, sebelum kejadian, kumpulan penjenayah warga tempatan terbabit terlebih dulu merayau-rayau di kawasan berkenaan sejak jam 3 pagi dipercayai untuk mengesan lokasi kediaman yang bakal dijadikan sasaran.

“Selepas yakin dengan sasaran, suspek memecah masuk untuk melarikan kereta mewah mangsa. Bagaimanapun, mereka terkejut apabila alat penggera yang dipasang di rumah mangsa tiba-tiba berbunyi,” katanya.

Menurutnya, mangsa segera turun ke tingkat bawah banglonya untuk mematikan sistem penggera berkenaan sebelum mendengar enjin kereta dihidupkan.

“Mangsa yang mulanya menyangka anak lelakinya sedang memandu untuk keluar rumah bagaimanapun terkejut apabila mendapati tiga lelaki tidak dikenali dengan menutup muka dalam kenderaan itu.

“Semua suspek memakai topeng mencegah wabak H1NI bagi memastikan identiti mereka tidak dapat dicam mangsa. Pemilik rumah yang cuba mencegah mangsa bagaimanapun dikejar sebelum masuk semula ke dalam rumah bagi mencari perlindungan,” katanya.

Menurutnya, mangsa segera memaklumkan kejadian itu kepada anaknya, namun penjenayah sudah melarikan diri.

“Bagaimanapun, kejadian terbabit dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di hadapan rumah terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, polis sedang mengesan penjenayah dan tiga kereta mewah model Mercedes Benz, BMW dan Honda Accord milik mangsa.

“Siasatan terperinci akan dilakukan terhadap rakaman CCTV diperoleh bagi mengenal pasti identiti sebenar suspek terbabit,” katanya.

end

azam kami!


Tahun baru. Malas sudah hendak cakap pasal azam. Bukannya ada apa-apa yang hebat pun. Ramai orang pasang azam itu ini. Tapi sudah-sudahnya begitu juga. Hendak langsing, hendak kurus, hendak berhenti merokok,hendak berhenti marah-marah suami, hendak berhenti itu ini. Biasanya beberapa hari saja, atau paling kurang tiga bulan. Selepas itu, kembali pada asal. Tokoh motivasi hebat mana pun tidak boleh ubah.

Hanya Allah yang boleh ubah. Sebab kita ini ciptaan-Nya. Maka berdoalah agar kita istiqamah dengan azam yang kita azamkan.

Marilah kita terus panjatkan doa, "Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau palingkan hati kami selepas Engkau berikan iman ke dalam hati kami..."

dia masih teman lelaki saya!


Budak perempuan itu mengaku di akhbar yang dia masih berpacaran dengan teman lelakinya yang kacak lawa dan terkenal itu.

Walaupun teman lelakinya didakwa ada awek lain dalam diam dan sering dikatakan menemani teman lelakinya itu, tetapi budak perempuan itu tanpa ragu tanpa silu mengaku “Saya masih kekasih Awang (bukan nama sebenar) dan dia masih seorang ‘lelaki’ terbaik bagi saya.”

Huh! Percintaan hebat penghujung tahun 2009.

“Saya masih bahagia, tidak orang seperti didakwa,” demikian lagi katanya seperti yang dipetik akhbar.

Lebih tersentap hati membacanya, apabila teman lelakinya dikatakan ada selera pelik, bukan setakat bernafsu pada perempuan tetapi juga meminati insan bernama lelaki. Pun budak perempuan itu masih setia teguh mempercayai ketulenan teman lelakinya.

“Saya mahu tegaskan, Awang masih lelaki sejati dan tidak memilih kaum sejenisnya untuk menjadi pasangan. Tidak nampak ciri-ciri dia berminat ke atas kaum Adam,” tegas budak perempuan ini.

Bagaimana dia tahu teman lelakinya tulen? Dia pernah cubakah? Musykil memikirkannya!

Cikabang: Confirm asli!